Wednesday, October 15, 2008

Kesan-kesan sekularisme di Malaysia

Kesan-kesan Sekularisme Di Malaysia

Sebagaimana kesan yang berlaku di dunia Islam, begitu jugalah halnya dengan Malaysia setelah diserap dengan ideologi sekular ini. Pelbagai aspek kehidupan masyarakat Islam Melayu kelihatan telah berubah setelah kemasukan ideologi ini, dalam pelbagai aspek antaranya :

Aspek Pemikiran

Seperti juga di dunia lain, ia juga turut melemahkan keimanan dan menggoyangkan akidah serta keyakinan terhadap kekuasaan Allah. Keraguan terhadap rasul, para malaikat, hari kiamat dan Al-Quran serta pembalasan Qadha dan Qadar menyebabkan keimanan umat Islam semakin rapuh dan terkeliru dengan pendapat aliran-aliran Barat. Pemikiran umat Islam di sini semakin hari semakin rapuh dan memandang soal agama hanyalah semata-mata soal ritual sahaja. Bagaimana kita boleh tafsirkan suasana sebegini; dalam majlis agama seperti ceramah, sambutan maulidur Rasul dan sebagainya kita dapati imej dan syiar Islam begitu dijaga, namun pada waktu yang sama, di luar daripada aktiviti sebegitu, Islam tidak lagi diikuti malah aurat kembali dibuka sebaik sahaja syarahan ataupun kelas agama tamat. Dalam urusan perkahwinan umpamanya, rukun, syarat dan adab begitu dijaga kerana bimbangkan perkahwinan tidak sah, namun pergaulan bebas sebelum perkahwinan berlangsung tidak pernah diambilkira dan dipedulikan menurut kaedah Islam. Inilah bentuk pemikiran masyarakat semasa hari ini, yang semakin sebati dengan kehidupan yang mengasingkan hal-hal Islam dengan hal-hal ekonomi, sosial dan lain-lainnya.

Sosial

Kedapatan perubahan perwatakan individu dari segi berfikir, bertindak, gaya hidup. Pengasingan diri dari kepentingan beragama menyebabkan kekosongan di dalam diri dan jiwa dan kelahiran pembangunan yang tidak seimbang. Akibatnya keruntuhan moral dan akhlak berleluasa serta gejala-gejala seperti dadah, arak, aids, lesbian, homoseks dan bohsia semakin berleluasa peningkatannya. Aktiviti-aktiviti sosial kini telah dikelaskan kepada aktiviti agama dan aktiviti bukan agama. Begitu juga dalam aspek pakaian dan pergaulan, dalam majlis ceramah agama, Musabaqah Tilawah Al Quran dan sebagainya kita dapati cukup Islamik, tetapi dalam konsert hiburan dan Pesta Flora umpamanya, langsung tidak relevan dengan aspek keagamaan. Islam tidak wujud dalam konteks tersebut, ataupun muncul dalam bentuk serpihan elemen yang kecil sahaja seperti pembacaan doa dan sebagainya. Pergaulan bebas sudah menjadi norma yang tidak lagi salah, berpasangan sudah merupakan tuntutan semasa, malah berpelukan juga sudah menjadi lumrah pandangan kita di mana-mana. Gambaran perbuatan mereka ini menunjukkan bentuk pemikiran mereka yang kian dipisahkan daripada aspek keislaman.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, pemikiran sesetengah umat Islam yang boleh dianggap melampau apabila dalam sesetengah urusan, lantaran terlau ghairah memikirakan ketiadaan relevan antaranya dengan agama sehingga akhirnya seolah-olah mencemuh dan menghina hukum dan Al Quran. Umpamanya, kes ratu cantik yang ditangkap (1997) ramai tokoh-tokoh negara cuba memperkatakannya menerusi kacamata sekular sehingga menghina ulama’ yang menjatuhkan hukuman tersebut yang didakwa sebagai generasi dinosaur yang kian pupus (berpandangan kolot dan ketinggalan zaman), sedangkan hukum itu adalah ditentukan oleh Al Quran…(Sila Rujuk Ulasan oleh Marina Mahathir. “Religion, where is thy beauty?”: the Star 9 Julai 1997 Section 2/7).

Politik

Aliran politik barat tertanam di dalam jiwa umat di Islam seperti fahaman kapitalisme, sosialisme, nasionalisme dan lain-lain. Kaedah memisahkan aspek politik daripada tugas ulama’ ataupun mengasingkan politik daripada masjid menjelaskan lagi pemikiran umat Islam hari ini betapa sekularisme terlalu kuat menghantui pemikiran mereka. Pengasingan ulama’ di masjid dan ahli politik di parlimen dengan jelas mendokong ideologi sekularisme dan menolak fahaman islam yang meletakkan Islam sebagai cara hidup yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan termasuklah politik, ekonomi dan sosial. Malah Rasulullah dahulu menjadikan masjid sebagai pusat keseluruhan aktiviti, menunjukkan integriti agama dengan kehidupan seluruhnya.

Ekonomi

Lahirnya dua bentuk sistem ekonomi iaitu sistem ekonomi kapitalis dan sosialis yang bermatlamatkan kekayaan dan material semata-mata tanpa memikirkan halal, haram, keadilan sosial, perkhidmatan serta kebajikan masyarakat. Negara kita sebenarnya sudah jauh melangkah ke hadapan berbanding negara-negara lain di dunia apabila sistem perbankan Islam kita menjadi contoh bagi seluruh sistem perbankan Islam di dunia. Namun begitu, elemen sekular yang memisahkan keduanya ataupun sifat dualisme masih wujud apabila sistem perbankan yang berteraskan riba juga masih terus digunakan. Apatah lagi penubuhan Bank Islam dan produk-produk Islam tidak digunakan oleh kerajaan pun, samat-mata disediakan tetapi tidak dimanfaatkan. Jadi, apa yang difahami, sistem Islam telah wujud tetapi ideologi sekularisme masih menebal sehingga tidak lagi mengambil konsep Islam untuk keseluruhan urusan ekonomi negara. Malah dalam aspek pelaburan dan perniagaan, arak dan judi masih terus dibiarkan dan diluluskan permitnya.

Pendidikan

Corak sistem pendidikan yang lebih mementingkan hal-hal dunia tanpa mengambil kira kepentingan jiwa dan iman yang diperlukan bagi membentuk akhlak dan moral. Sistem pendidikan negara disusun daripada pra-persekolahan sehingga kepada peringkat tertinggi mengambil dasar sekular. Ini terjadi apabila aliran sekolah sudah ditetapkan oleh kerajaan; sama ada aliran agama ataupun bukan aliran agama. Perlu dikaji, apakah yang dimaksudkan dengan aliran bukan agama? Pengajian subjek-subjek umum di sekolah-sekolah digubal menggunakan idea-idea barat yang tidak disepadukan dengan pemikiran Islam. Hanya pendidikan Islam sahaja yang digubal oleh panel yang merujuk kepada pandangan Islam dan rujukan-rujukan yang muktabar. Lalu, bagaimana keseimbangan yang sebegini boleh membina generasi pelajar yang mampan dalam pemikiran Islamnya? Lebih menyedihkan lagi, apabila aliran pendidikan Islam semakin dipandang sepi dan mendesak mayarakat mengutamakan disiplin-disiplin lain yang tidak diajar mengikut perspektif Islam.

Hasilnya pemikiran umat sedikit sebanyak sebati dengan kenyataan bahawa pendidikan aliran agama dan bukan aliran agama dalah terasing dan terpisah. Pengamalan syariat Islam dan penonjolan syiarnya hanyalah dikhususkan di sekolah-sekolah beraliran agama sahaja, seperti kewajipan menutup aurat, pengajaran kurikulum dan aktiviti-aktiviti ko kurikulumnya.

Perundangan

Penggantian undang-undang dari undang-undang Islam kepada sistem perundangan Inggeris menyebabkan dewasa ini umat Islam tanpa segan silu mempertikaikan keadilan perundangan Islam dan mempersendakan golongan yang mengamalkannya. Sistem perundangan Malaysia dibahagi kepada dua bentuk iaitu undang-undang Islam dan undang-undang sivil. Idea sekular telah memisahkan kepada dua bentuk yang terasing ini. Kebanyakan aspek menggunakan undang-undang sivil dan undang-undang Islam diperuntukkan untuk hal-hal yang kecil dan peribadi sahaja. Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila undang-undang Islam yang seperti serpihan itupun tidak mengamalkan hukum Islam sepenuhnya malah hanyalah pada namanya semata-mata.
Begitu juga dalam aspek kehakiman, sehingga hari ini, Malaysia menggunapakai dua bentuk mahkamah iaitu mahkamah syariah dan mahkamah biasa. Inilah yang kita dapati hasil daripada serangan ideologi sekular di kalangan umat Islam di dunia dan di negara kita khususnya. Islam tidaklah ditolak tetapi disingkirkan daripada tempatnya dan tidak digunakan selayakny

No comments: