Wednesday, October 15, 2008

ANCAMAN SEKULARISME

Perkataan ini berasal dari bahasa Latin iaitu Saeculuum membawa erti “masa” dan “tempat”. Oleh itu Saeculuum tidak lari dari membincangkan hal-hal yang bersifat keduniaan. Manakala ‘isme’ ialah aliran pemikiran. Dari segi istilah, sekularisme adalah satu bentuk fahaman yang mengandungi peraturan-peraturan yang dasar dan perlaksanaannya mengenepikan keimanan dan keagamaan.

Alan Richardson pernah mengungkapkan sebagai :

Sekularisme lazimnya diertikan sebagai satu sikap kecenderungan yang luas di kalangan masyarakat untu secara mudah menganggap sepi kepada Tuhan dan semua persoalan yang berkaitan dengan kegiatan keagamaan kerana kesibukan dengan ehwal duniawi. Kesibukan keduniaan mereka menjadi sebab mereka tidak sempat duduk dan berfikir mengenai hal-hal ukhrawi.[1]

Professor Syed Muhammad Naquib Al Attas mendefinisikan sekularisme sebagai suatu fahaman yang membentuk suatu corak kehidupan di mana berlakunya pembebasan insan daripada agama dan fahaman-fahaman yang tetap, yang menguasai hakikat semesta.[2]

Jelas sekali bahawa dalam sekularisme, perkara-perkara berkaitan dengan urusan kehidupan dari segi politik, ekonomi, poendidikan, pentadbiran dan sosial tidak ada kaitan dengan agama dan gereja. Urusan agama dipisahkan dari urusan kehidupan dengan pemusatan perhatian hidup kepada soal materialisme dan kebendaan. Bertitik-tolak daripada itu, lahirlah beberapa ideologi lain seperti materialisme, kapitalisme, sosialisme, nasionalisme, marxisme, liberalisme dan lain-lain. Malah pada suatu peringkat, sebahagiannya seperti Karl Marx cuba menonjolkan ideologi ini sebagai agama baru yang harus dianuti oleh barat.[3] Dengan maksud yang sama ideologi ini berusaha mencapai kebahagiaan pembebasan dan keamanan melalui methodolgi luaran dan berebtuk materialisme tanpa mengambilkira aspek-aspek keagamaan.

No comments: