Wednesday, October 15, 2008

CIRI-CIRI SEKULARISME

Althaf Gauhar menggariskan beberapa ciri sekularisme iaitu:

Suatu fahaman yang merujuk kepada penafian hal-hal kerohanian, penafian adanya akhirat, pemisahan antara agama dan nilai kerohanian, kekuasaan sebagai kebebasan mutlak dan institusi agama hanya khusus untuk urusan ketuhanan semata-mata.[1]

Professor Syed Muhammad Naquib Al attas pula meletakkan ciri-ciri sekularisme sebagai aliran yang ingin memperbaiki kehidupan dengan cara material, hal keduniaannya bebas daripada ajaran wahyu, bersifat bebas hasil daripada pemikiran dan pengalaman tanpa hubungkait dengan Tuhan dan kebahagiaan hidup ditentukan oleh dunia.

Secara umumnya, fahaman ini mendokong beberapa prinsip yang mencerminkan dasar dan pandangan ideologi ini, antaranya :

1. Bersifat terasing daripada aspek keagamaan. Ini bererti sekularime mendokong teori yang pernah diungkapkan oleh Martin Luther apabila meminta agar tugas pentadbiran diserahkan kepada Kaisar dan membiarkan tugas-tugas agama dikendalikan oleh paderi-paderi di gereja. Penyisihan agama daripada aspek kehidupan yang lain ini boleh dilihat pada amalan masyarakat dunia hari ini yang menganggap agama hanyalah sebahagian disiplin ataupun aspek yang setaraf dengan sejarah, ekonomi, politik dan sebagainya dan merupakan elemen-elemen yang terasing antara satu sama lain.

2. Sekularisme melatih para pendokongnya agar mengenepikan hal-hal akhirat dan secara tidak langsung supaya mencari kehidupan di dunia semata-mata. Urusan akhirat bagi mereka adalah perkara kedua yang akan difikirkan di dunia Akhirat nanti. Lantaran itu, sekularisme biasanya akan mebawa penganutnya kepada beberapa ideologi lain yang mementingkan kehidupan dunia dengan mengenepikan unsur kehidupan agama sebagai masalah individu, umpamanya ideologi materialisme, individualisme, kapitalisme dan lain-lain lagi.

3. Sekularisme juga memperjuangkan ciri-ciri yang bersifat kebebasan, kebahagiaan dan kebebasan yang tiada bersempadan. Teori Machievelli[2] merupakan dasar yang dipegang oleh ideologi ini, iaitu Ends Justify The Means (Matlamat Menghalalkan Cara).

4. Sekularisme juga menampilkan cirinya yang tidak tetap dan tidak mutlak. Perundangan dan pemerintahan secara sekular tidak mempunyai teras yang tetap dan mutlak, malah sentiasa berubah-ubah mengikut kepentingan dan semasa tanpa ada sebarang garis panduan yang mutlak. Sebagai contoh, pandangan sekular terhadap perlakuan zina sentiasa berubah-ubah sejak abad ke 15M sehinggalah kini, hal tersebut sudah menjadi hak individu yang tidak lagi menjadi kesalahan di barat.

No comments: