Sunday, May 31, 2009

Konsumerimse - rukun iman kapitalis

Hari ini dasar globalisasi yang diajukan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia telah berjaya menjadikan kapitalisme satu sistem ekonomi yang mencakupi seluruh dunia.

Dari Chile ke China, dari Bhutan ke Batang Berjuntai, dari Tokyo ke Taiping, dari Normandy ke Nepal – semua negara dan ceruk sedang menggunakan sistem kapitalisme sebagai satu cara hidup.

Cara hidup di sini ertinya budaya harian yang digunakan oleh warga untuk menjalankan kehidupan. Budaya dan cara hidup ini diikat dengan nilai. Kapitalisme telah melahirkan nilai untuk dijadikan rujukan oleh warga dunia.

Sistem kapitalisme telah berjaya menyebarkan nilai-nilai baru untuk umat manusia. Nilai ini berperanan besar untuk memperkukuhkan dan mengembangkan lagi kapitalisme.

Nilai-nilai ini dirancang dan disusun. Kajian dibuat secara ilmiah tentang apakah nilai yang wajib dibentuk. Pakar-pakar akan memastikan nilai-nilai yang dimunculkan ini hanya akan selari dengan nilai dan hukum perjalanan sistem kapitalisme.

Daulah memerlukan nilai-nilai ini untuk memastikan yang kuasa di tangan tidak akan tergelincir lepas. Melalui nilai dan pandangan dunia, daulah dapat memastian hegemoni daulah dapat diteruskan.

Penyebar nilai yang nombor wahid ialah media – akhbar, majalah dan tv. Pada awalnya akhbar menjalankan peranan yang amat positif. Jika kita melihat kembali peranan akhbar di negara kita ini, maka kita akan melihat bagaimana akhbar harian telah menjana pemikiran orang ramai.

Gerakan nasionalisme di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan tidak akan ampuh tanpa peranan akhbar.

Globalisasi , penswastaan dan pasaran terbuka telah mengalih semua ini. Dasar pasaran terbuka yang dipaksakan ke atas negara-negara Dunia Ketiga telah membuka jalan untuk taikun media antarabangsa melabur dan membeli akhbar dan media tempatan.

Hari ini media di dunia ini sedang dimonopoli tidak lebih daripada 10 buah syarikat – antaranya Time Warner Inc, The Walt Disney Corporation, The News Corporation Ltd., Sony Corporation, General Electric Co., Viacom, Inc. dan Bertelsmann AG.

Dari sini muncul satu susuk yang menjadi raja segala raja-raja – Rupert Murdoch.

Syarikat-syarikat media ini berlegar-legar macam helang lapar untuk mencari mangsa baru. Di mana sahaja ada pasaran dibuka, maka mereka akan datang melabur untuk mempengaruhi bentuk berita yang akan disebarkan kepada umum.

Justeru – kita tidak perlu hairan kenapa Isreal yang memiliki lebih daripada 200 biji bom nuklear tidak pernah dipersoalkan oleh saluran media ini.

Kita juga tidak perlu hairan kenapa Iran yang hanya membuat loji nuklear untuk menjana elektrik saban hari digodam oleh media ini seolah-olah minggu depan Iran akan meledakkan bom nuklearnya.

Memiliki dan mengawal media bertujuan untuk menenggelamkan isu yang fundamental. Mengetepikan isu dan agenda yang rapat di hati warga. Melalui kawalan dan saringan, media bergelumang dan bertungkus lumus menimbulkan isu sampingan yang remeh lagi temeh.

Justeru dari hari ke hari pengisian media di seluruh dunia semakin cetek. Umat manusia hari ini ditaburkan dengan cerita-cerita remeh, gosip-gosip tentang artis, aktor, pemain bola, kaki-kaki glamour, ratu cantik atau para model.

Telah wujud kesepaduan di antara media cetak dengan media elektronik. Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami semua ini. Lihat sahaja apa bentuk nilai yang sedang disebarkan oleh media kita sendiri.

Contohnya: Dari kaca tv kita melihat seorang aktor ciput yang tergedik-gedik. Esoknya kita akan diberitahu siapa kekasih baru aktor ini. Dan lusa kita akan membaca bahawa aktor ciput telah berkahwin dengan seorang Datuk Tua.

Kemudian kita terbaca aktor ciput ini minta cerai. Kisah "minta cerai" ini akan menjadi sensasi sehingga berita 5,000 warga yang dibuang kerja dilihat sebagai berita sampingan.

Berita remeh cerai-berai artis ciput ini dijual untuk ditakrif lebih penting daripada apa yang terjadi dan ke mana perginya P Subramaniam atau apa yang akan dihadapi oleh warga yang akan hilang pekerjaan?

Berita-berita remeh seperti ini memang dirancang untuk mengambuskan isu nasional yang lebih bermakna. Pemikiran warga sengaja dibantut dan dibonsaikan dengan berita remeh, cetek dan lagi superfisial.

Media inilah yang sedang melahirkan nilai untuk menjadi rujukan kita bersama. Taktik yang dijalankan - sebelum kita sanggup menerima nilai ini, otak dan fikrah kita perlu dicetekkan dengan berita-berita remeh.

Apabila warga menjadi lali, suka melopong depan tv, malas membaca dan kurang cerdik, maka dengan senang warga akan disuapkan dengan nilai konsumer.

Nilai konsumer adalah segala nilai dalam budaya kapitalis. Budaya konsumer inilah yang dirancang secara rapi oleh kaum pemodal. Kaum pemodal antarabangsa ingin warga dunia terus membeli barangan dan produk-produk baru yang mereka buat. Inilah tugas penyebaran nilai konsumer.

Beli, beli dan terus membeli adalah rukun iman dan syarat utama untuk memastikan sistem kapitalis ini terus bergerak. Jika para konsumer berhenti membeli, maka dengan sendirinya kilang akan terhenti. Untuk memastikan komplot ini terus berjaya, maka warga perlu tunduk, menyembah dan menghayati nilai konsumer.

Produk-produk baru akan memasuki pasaran. Lepas satu, satu lagi objek baru akan muncul. Semua produk ini perlu dibeli untuk memastikan enjin kapitalisme terus bergerak.

Lihatlah, saban tahun kilang kereta akan mengeluarkan model dan bentuk baru. Komputer akan diisikan dengan perisian yang baru. Pakaian akan diperagakan dengan model yang baru.

Semua ini dirancang secara bersepadu di antara media elektronik, media cetak dan iklan – untuk melahirkan nilai konsumer.

Kita sebagai warga akan ditembak dari kiri dan kanan. Di rumah, mata kita ditembak oleh kaca tv. Dalam kereta, telinga kita ditembak oleh radio. Di jalan raya, mata kita dibom oleh papan iklan. Semuanya untuk melemahkan diri kita agar kita sama-sama menyembah produk-produk dan membelinya.

Hari ini kapitalisma telah berjaya menanamkan nilai aku-mesti-beli dan aku-mesti- memiliki. Jika kita memiliki produk yang dijajakan, maka kita termasuk dalam golongan umat yang berjaya. Sesiapa yang tidak memiliki produk, ertinya susuk ini golongan yang gagal.

Dalam budaya kapitalisme, nilai kejayaan diukur dengan pemilikan. Lebih banyak produk yang kita miliki, maka lebih tinggi taraf kita di mata umum.

Budaya konsumer seolah-olah berjanji memberi warga kebebasan memilih. Kalau kita ke gedung membeli belah, kita ada kebebasan untuk memilih berpuluh jenis kopi. Apakah benar kita sebagai warga memiliki kebebasan untuk memilih?

Tidak. Dalam budaya konsumer kapitalis, pilihan itu hanya satu ilusi. Yang kita pilih hanya logo luaran. Dalam kapitalisme, warga tidak banyak pilihan – semua pilihan akan menjurus kepada orang yang sama dan tuan pemodal yang sama.

Tidak percaya? Cuba fikirkan apakah kita ada pilihan apabila berhadapan dengan Star, Sin Chew, Utusan, NST , RTM, TV3, TV9, atau Astro?

Kita hanya berilusi bahawa kita ada kebebasan memilih (media) tetapi sebenarnya semua pemiliknya orang-orang dari kumpulan yang sama.

Hegemoni budaya kapitalisme ini sedang memerangkap kita semua. Warga Asia, Afrika dan Latin Amerika termasuk Eropah dan Amerika Syarikat semua sedang terjerat oleh budaya ini.

Budaya ini sedang membantut dan membonsaikan fikrah kita. Justeru kita wajib mencari jalan keluar.

by :Hishamuddin Rais | May 8, 09 11:57am

Pencerahan awal lawan modal sejagat

Pencerahan awal lawan modal sejagat

Kerajaan memutuskan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan berkuatkuasa serta-merta tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan.

Ia bermakna syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan tidak lagi terpakai. Mengumumkan perkara itu, perdana menteri berkata, subsektor itu dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan.

Tambahnya, liberalisasi sektor perkhidmatan bertujuan membentuk persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi (dipetik daripada Utusan Malaysia)

Kita terbaca bagaimana Najib Razak terpaksa membuka lagi pasaran Malaysia kepada syarikat multinasional. Kaum pemodal luar negara kini dibenarkan membawa masuk modal untuk melabur dalam 27 subsektor termasuk juga bank dan hospital.

Kalau dulu pelaburan luar hanya dibenarkan memiliki kepentingan tidak lebih daripada 30%, kini dinding dan atap itu telah diruntuh.

Inilah buktinya bagaimana perancangan kapitalisme global telah berjaya memindahkan harta kekayaan rakyat dari Asia, Afrika dan Amerika Latin ke saku para pemilik bank dan pemodal Anglo-Amerika.

Inilah buktinya bagaimana dasar pasaran terbuka dapat menerobos masuk ke Dunia Ketiga.

Hujah memberi peluang pekerjaan selalu digunakan sebagai khidmat yang akan kita terima jika kaum pemodal antarabangsa ini masuk melabur. Kapitalis antarabangsa ini juga dikatakan akan membawa modal.

Apakah hujah ini betul? Untuk memahaminya, mari kita melihat dan memahami kembali apa itu duit dan apa itu modal.

Seperti yang telah diterangkan dalam siri-siri artikel lepas, duit yang kita gunakan ini adalah fiat money - kertas yang nilainya dipaksakan ke atas kita. Kertas ini dipaksakan ke atas kita kerana kita terikat dalam sistem kapitalis global.

Kita menjerut leher kita dengan menerima dasar Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Dasar yang diajukan oleh lembaga-lembaga ini tidak pernah berniat untuk membantu kita. Tugas kapitalisme bukan membantu umat manusia, tetapi membuat untung.

Tidak ada orang yang memulakan satu perniagaan dengan tujuan untuk membantu. Kapitalisme bukan badan amal seperti Food Not Bomb.

Kita selalu mendengar bahawa banyak kilang ditutup di Singapura, Pulau Pinang atau Thailand kerana modal berpindah ke China atau Vietnam. Kenapa? Kerana upah buruh lebih murah di sana.

Inilah buktinya bahawa kapitalisme bukan datang untuk membantu tetapi mencari untung. Jadi hujah mengatakan modal luar membuka peluang pekerjaan terbukti satu dongeng.

Dari mana modal datang? Modal ialah tenaga manusia. Justeru tidak munasabah jika kita katakan Malaysia tidak memiliki modal. Kenyataan ini bohong.

Di Malaysia ada lebih dari 20 juta warga – semua ini adalah modal. Apabila politikus mengatakan kita tidak memiliki modal atau dana – apa yang dimaksudkan ialah kita tidak memiliki kertas dolar.

Juga jangan lupa - keuntungan yang dibuat oleh kaum pemodal antarabangsa akan dibawa pulang ke negara masing-masing. Yang dibawa pulang itu ialah modal. Inilah sebab utama kenapa negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin terus menjadi miskin.

Tenaga yang dicurahkan oleh warga dihisap oleh lintah-lintah darat ini.

Kerana kita tidak memiliki kertas dolar, maka kerajaan kita ke hulu ke hilar meminjam daripada Bank Dunia, IMF, bank-bank dari Eropah atau negara menjual bond. Ertinya, kita meminjam duit daripada para pemilik bank dan pelabur luar negara. Mereka sedia meminjamkan kepada kita untuk mendapat untung buta melalui bunga dan riba.

Mari kita lihat satu contoh sejarah yang berlaku di zaman Perang Saudara (1861-1865) di Amerika Syarikat. Ketika itu presiden Abraham Lincoln cukup terdesak.

Presiden Lincoln mungkin terpaksa meminjam duit dari para penguasa bank di Eropah yang amat bersedia meminjamkan duit dengan riba dan bunga yang tinggi.

Lincoln telah dinasihatkan untuk mencetak duit sendiri agar dapat membebaskan diri daripada lintah darat para penguasa bank yang sedang memasang lukah di Pasar Selayang.

Sebanyak 450 juta dolar - yang dipanggil greenbacks - telah dicetak. Wang ini berjaya membantu Lincoln membayar hutang piutang negara.

Amerika Syarikat di zamam Lincoln telah bebas daripada berhutang dengan para penguasa bank Eropah. Dari segi sejarah, ketika Lincoln menjadi presiden, ekonomi Amerika berkembang permai.

Ringgit yang kita gunakan hari ini dinilaikan dengan bandingan kertas dolar. Tetapi kertas dolar yang menilai ringgit ini pada hakikatnya tidak memiliki apa-apa nilai.

Majoriti warga Malaysia hanya memiliki nilai keyakinan untuk menjalankan pertukaran melalui ringgit. Kertas ringgit ini bertujuan untuk menyenangkan kita berjual-beli, tidak lebih dari itu.

Kertas ringgit ini juga adalah fiat money yang tidak berasaskan emas atau perak. Ia hanya berasaskan keyakinan warga Malaysia.

Justeru jika sesebuah negara dapat membebaskan daripada belenggu kertas dolar, maka negara itu boleh mencetak duit mereka sendiri – seperti yang telah dilakukan oleh Abraham Lincoln.

Jika negara mencetak duit sendiri, maka negara tidak akan memiliki masalah hutang. Kita mencetak kertas ringgit kita sendiri tanpa merujuk Bank Dunia atau IMF. Atau meminjam daripada mereka.

Saya yakin warga akan menerima pakai kertas ringgit yang kita cetak untuk kita bersama membangunkan negara. Tidak timbul masalah negara tidak memiliki modal. Tidak timbul masalah negara tidak ada dana.

Kenapa kita menjadi bodoh meminjam kertas dolar daripada IMF atau Bank Dunia atau menyimpan dolar sebagai duit simpanan negara walhal kertas dolar ini juga tidak bersandarkan emas atau perak?

Nilainya dipaksakan ke atas kita.

Amat jelas, Bank Dunia dan IMF adalah lembaga kapitalis yang menjual kertas kosong kepada kita. Kenapa kita membeli kertas kosong dengan harga yang mahal walhal kita boleh membuat kertas itu sendiri?

Apa yang saya katakan ini kelihatan cukup enteng. Lalu timbul persoalan – kalau begini senang, kenapa kerajaan tidak melakukan sesuatu? Jawabnya juga cukup enteng – kerajaan Malaysia hari ini sedang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Negara kita terikat dalam satu sistem kapitalis global.

Perangkap kapitalis global ini telah dipasang oleh kabal Illuminati untuk kepentingan para penguasa bank seperti Rockefeller dan Rothschild telah memerangkap kita.

Pemimpin politik kita tahu jika mereka cuba membebaskan diri daripada sistem kapitalis global ini, maka mereka akan dijatuhkan.

Sejarah menunjukkan bahawa United Malays National Organisation ini dinaikkan oleh penjajah British melalui Tunku Abdul Rahman kerana gerombolan ini tidak akan melawan atau menentang kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika.

Gerombolan ini dipilih oleh British kerana mereka akan menjaga kepentingan kaum pemodal melalui seribu satu macam undang-undang yang bukan bertujuan menjaga kepentingan kaum pekerja dan buruh tetapi menjaga kepentingan kaum pemodal.

Hanya sebuah kerajaan rakyat yang berpaksikan kekuatan rakyat sahaja yang dapat membebaskan diri daripada belenggu kapitalis global. Satu ketika dahulu Indonesia bawah pimpinan arwah Bung Karno adalah contohnya. Iran di bawah pimpinan arwah Mussadigh satu lagi contoh.

Hari ini contoh terdekat ialah Cuba yang dipimpin oleh Castro, Korea Utara yang dipimpin oleh Kim Jong-il, Venuzuela di bawah Chavez dan Iran di bawah Ahmadinejad – adalah negara-negara yang cuba membebaskan daripada sistem kapitalis global.

Lihatlah berapa banyak konspirasi dan propaganda telah, sedang dan akan dilakukan untuk merobohkan benteng ekonomi negara-negara ini. Modal global melihat negara-negara yang ekonominya berdiri bebas sebagai musuh mereka.

Lalu persoalan timbul kenapa kita semua tidak melakukan sesuatu dan membiarkan diri kita terus ditipu bulat-bulat untuk sekian lama?

Sesiapa yang berani mengeluarkan soalan seperti ini maka susuk ini adalah susuk yang memiliki fikrah merdeka.

Susuk ini berfikiran progresif kerana ingin membebaskan diri daripada belenggu kapitalisme. Susuk-susuk yang sedar dan tidak mahu ditipu oleh kertas dolar.

Jika semakin ramai yang menimbulkan soalan ini ada kemungkinan Malaysia negara kita ini akan menuju ke zaman pencerahan.

by:Hishamuddin Rais | May 4, 09 4:33pm

Wednesday, May 13, 2009

Tuesday, May 12, 2009

kenangan di Pulau pangkor





Aku dah penat!!!!!

Salam,
minggu lepas pegi tok bali kelantan, ada kerja 3 hari je pegi. Balik Ahad kena gi baktisiswa kat kg.Lipat Kajang. Isnin baktisiswa kg.orang asli kedaik. semalam ngan hari ini baru masuk ofis buat keje. dah la sesorang penat melayan student tapi seronok tak stic kepada satu kerja je. badan pun dah letih, suara dah serak, penat gila rasantya. Semalam bawak mawaddah,hariz & zikry pegi east coast mall seronok giler diaorang lagi aku tinggalkan kat tempat jagaan kanak-kanak rm 10.00 sejam je, macam -macam diaorang buat. Mereka seronok apa lagi kita mak ayah mereka, biarkan asalkan mereka merasai saat-saat sebagai kanak-kanak.